Khamis, 21 Februari 2013

MEREBUS BATU KERANA LAPAR


contoh cerita untuk dipertandingkan (Kisah saidina Umar)


   Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,yang disegani barisan panel Hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa serta para perserta yang saya kagumi sekalian. Di sini saya ingin menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk “ Merebus batu Kerana Lapar”

  Pada suatu masa dahulu di kota madinah terjadinya “Tahun Abu”. Ramai penduduk di kota madinah mengalami penderitaan kerana kemarau yang berpanjangan.Pada masa itu di bawah pemerintahan Amirul Mukminin iaitu Saidina Umar Al-khatab. Rakyatnya di uruskan dengan cermat dan saksama.Setiap hari Saidina Umar al-khatab sentiasa bimbang makanan untuk rakyatnya berkurangan,Beliau sangup menahan lapar kerana kasihan terhadap rakyatnya. Sehingga apabila perutnya berkeroncong kelaparan, beliau menepuk-nepuk perutnya lalu berkata “ Berkeronconglah sesuka hati mu wahai perutku, aku tetap akan tahan sehingga rakyat ku tidak kelaparan dan hidup dengan sewajarnya”.

  Hampir setiap malam Saidina Umar al-khatab akan keluar masuk ke kampung dengan ditemani sahabatnya Aslam bagi memantau keadaan rakyatnya, beliau juga sanggup menyamar sebagai rakyat biasa agar identitinya tidak diketahui.

  Pada suatu malam ketika Saidina Umar Al-khatab sedang berjalan bersama Aslam ke sebuah kampong yang terpancil. Tiba-tiba beliau terdengar suara tangisan anak kecil menangis teresak-esak (Buat menangis). Umar Al-khatab dan aslam bergegas mendekati suara tangisan tersebut di khemah berdekatan, untuk mengetahui kemungkinan penghuninya memerlukan bantuan.

   Saidina Umar melihat seorang ibu sedang memasak sesuatu di dalam periuk yang besar dengan menggunakan senduk kayu bagi mengacau masakannya itu. Terdengar suara rintihan anaknya “ Ibu Lapar, ibu lapar..” lalu si ibu memujuk..” Sabar nak sabar, masakan masih belum  siap, kamu tidurlah dahulu” tetapi anak itu terus sahaja menangis.
  Umar al-khatab tidak sabar ingin menghulurkan bantuan kerana kasihan melihat anak itu terus menangis.Lalu Saidina Umar memberi salam “Assaalumu alaikum” mendengar salam itu,  si ibu menjawab salam Umar “ Waalaikum salam” tetapi setelah itu dia sambung kembali mengacau masakannya tadi.

 Di luar khemah,Saidina Umar Al-khatab bertanya kepada si ibu “ Siapakah yang menangis didalam itu?” dengan acuh tidak acuh si ibu menjawab “ Anak-anak ku” “Adakah mereka sakit?” soal saidina umar “ Tidak, mereka sedang kelaparan” Jawab si Ibu.
Saidina umar al-khatab dan sahabatnya Aslam terdiam dan tetap menunggu di luar khemah, setelah lama berada di luar, kedengaran anak-anak kecil itu terus menangis tanpa henti. Timbul persoalan di fikiran Saidina Umar ‘Apakah yang dimasak oleh si ibu?’ Lalu saidina umar bertanya lagi “Wahai si Ibu,apakah yang sedang kau masak? walalupun sudah lama,mengapa tidak matang-matang juga masakan mu itu?”.Si ibu menoleh dan berkata “ Kamu lihatlah sendiri, apa yang aku masak”.

Saidina Umar dan Aslam menjenguk ke dalam periuk tersebut, lalu keduanya terkejut, saidina umar berteriak “  kenapa kau memasak batu? Sedangkan anak kau sedang menangis kelaparan?” dengan suara lirih si ibu menjawab “ Aku seorang ibu tunggal, dari pagi aku dan anak-anak ku masih belum menjamah sedikitpun makanan, jadi aku menyuruh mereka berpuasa. Namun magrib tiba ternyata kami masih belum tiada makanan. Aku mengumpulkan batu-batu ini dan memasaknya, harapan agar bunyi masakan ini dapat membohongi anak ku untuk mereka terus tertidur, mungkin kerana kelaparan mereka terbangun dan menangis meminta makanan”.

  Setelah menjelaskan dengan panjang lebar, si ibu terdiam seketika. Dengan tidak mengetahui gerangan pemuda di hadapannya. Si ibu berkata lagi “ Namun apakan daya ku, inilah kejahatan Saidina Umar Al-khatab yang tidak mahu melihat ke bawah, apakah kehendak rakyatnya telah dipenuhi sepenuhnya. Umar al-khatab memang tidak layak untuk menjadi pemimpin, kerana beliau tidak mampu menjamin keperluan rakyatnya”.

  Bila mendengar si ibu berkata demikian, Saidian umar berlinangan air mata.Aslam pula ingin menegur percakapan si ibu tersebut, namun saidina umar segera menghalang lalu bangkit dan mengajak Aslam untuk pulang mengambil makanan. Setelah sampai di Baitul Mal iaitu tempat penyimpanan harta agihan, tanpa beristirehat lagi, beliau mengambil sekarung gandum lalu membawa dan memikul gandum itu di bahunya untuk diberikan kepada Si ibu.

  Sahabatnya Aslam kasihan melihat Saidina Umar memikul karung tersebut,dan dia berkata     “ Wahai Amirul Mukminin, biarlah aku yang memikul karung itu..” Tetapi dengan wajah yang merah padam (marah) Saidina Umar menjawab “ Wahai Aslam! Adakah kau ingin menggantikan tempatku untuk memikul bebanku ini di akhirat kelak? Jangan engkau menjerumuskan aku kedalam neraka kerana kesalahan ku ini”. Aslam tertunduk malu dengan teguran saidina umar.

  Setelah sampai di khemah si ibu, saidina umar menghulurkan bantuan bagi memasak sendiri makanan untukanak-anak si ibu tersebut. Se usai makanan siap mereka makan dengan lahapnya. Setelah memastikan keadaan mereka kekenyangan dan  tidur dengan nyenyak, Saidina Umar meminta diri untuk pulang dengan hati yang senang, tetapi jauh di sudut hatinya berbisik “Mungkin tanpa pengetahuan ku, ramai lagi rakyat ku yang masih hidup susah dan memerlukan bantuan ku”. Saidina Umar Al-khatab menadah tangan lalu berdoa “ Ya Allah ya tuhan ku!  janganlah sampai umat nabi Muhammad menemui kehancuran di tangan ku ini”


Begitulah sahabat-sahabat sekalian,,
Betapa mulianya peribadi seorang pemimpin yang sanggup hidup susah demi kehidupan rakyatnya. Kisah saidina Umar Al-Khatab ini mengajar kita Sifat saling bantu-membantu tanpa mengira sesiapa sahaja. Sifat sebegini harus kita  tauladani agar kita tergolong dari kalangan orang yang bertaqwa kepada Allah demi memperjuangkan islam terbela di mata dunia.

Sifat umar perlu di tauladani,
Berkasih sayang sifat utama,
Bantu-membantu sifat terpuji,
Marilah kita amalkan bersama-sama.


Saya akhiri cerita saya ini dengan ucapan Wabillahit taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

1 ulasan: